Daun betik selamat dimakan

DAUN BETIK SELAMAT UNTUK DIMAKAN"
Seperti disiarkan dalam Berita Harian, Harian Metro dan juga TV3 minggu ini, seorang Pakar Homeopati yang juga ahli farmasi, Prof Dr Ananthan Krishnan mendakwa daun betik yang telah lama digunakan untuk membantu rawatan denggi sebenarnya mengandungi sejenis racun dikenali sebagai ‘Cyanogenic Glycoside’. 
Di sebaliknya beliau mempromosikan produk makanan tambahan daripada Kunyit dan Kari sebagai penawar demam denggi.
=====
APA ITU CYANOGENIC GLYCOSIDE?
=====
Cyanogenic glycoside ataupun cyanoglycosides merupakan antara toksin tumbuhan yang dikenali sebagai cynogens iaitu bahan yang boleh menghasilkan hydrogen cyanide.
Antara jenis cyanogenic glycosides adalah Linamarin yang terdapat dalam ubi kayu dan jenis Amygdalin yang terdapat dalam biji buah-buahan seperti biji buah epal.
Bahan cyanogenic glycoside ini juga terdapat dalam tumbuh-tumbuhan yang kita jadikan sebagai makanan seperti pucuk daun ubi kayu, akar ubi kayu, rebung, badam dan buah aprikot.
Walaubagaimanapun selepas proses basuhan, rendaman dan rebusan , kadar cyanogenic glycoside di dalam tumbuh-tumbuhanmakanan ini akan berkurangan ke tahap yang selamat.
Pucuk daun betik telah lama diambil sebagai ulam dan mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ekstrak ataupun teh daun betik dilaporkan mempunyai potensi sebagai anti-tumor. Daun betik telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak dulu lagi sebagai pencegah kehamilan semulajadi, membantu penghadaman, merawat masalah haid dan masalah kecacingan. Selain itu, orang-orang dahulu juga mengambil daun betik sebagai rawatan kencing manis dan untuk menurunkan berat badan.
Banyak kajian-kajian perubatan, tradisional dan semulajadi telah dilakukan untuk mengkaji kegunaan daun betik dalam rawatan pelbagai penyakit. Selain dalam bidang perubatan, daun betik juga banyak digunakan oleh suri rumah dan pakar masakan untuk melembutkan daging sebelum dimasak.
Dalam perubatan moden pula, enzim papain dari daun dan buah betik digunakan untuk menghasilkan tablet papase yang banyak digunakan di hospital untuk mengurangkan keradangan. Jika anda biasa diberikan tablet berwarna hijau oleh doktor untuk mengurangkan bengkak. Bila dikunyah rasanya seperti betik, itulah enzim papase yang diambil dari pokok betik.
=====
ADAKAH DAUN BETIK BERACUN?
=====
Kajian toksikologi ke atas daun betik telah dijalankan oleh Prof Dr Ibrahim Jantan, Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia bersama kumpulan penyelidik dalam kajian bertajuk “Safety Evaluation of Oral Toxicity of Carica Papaya Leaves” pada tahun 2014.
Hasil kajian ini mendapati pemberian ekstrak daun betik selama 13 hari kepada tikus makmal pada dos yang bersamaan dengan 14 kali ganda kuantiti daun betik yang biasa digunakan dalam amalan perubatan tradisional tidak menyebabkan apa-apa kesan toksik.
=======
DAUN BETIK DALAM RAWATAN DENGGI
======
Dalam kajian kes yang dilaporkan oleh Nisar Ahmad, Pakistan seperti disiarkan dalam Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine yang bertajuk “Ekstrak Daun Betik Dalam Rawatan Demam Denggi” mendapati ekstrak daun betik mempunyai potensi untuk membantu merawat demam denggi berdasarkan perasaan pesakit dan laporan ujian darah yang menunjukkan kenaikan paras platelet dalam darah.
Kajian klinikal penggunaan daun betik untuk rawatan demam denggi juga telah dijalankan oleh Dr Soobitha Subenthiran dari Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Kajian ini dijalankan ke atas 228 pesakit yang dijangkiti demam denggi dan demam denggi berdarah di Wad Denggi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Keputusan kajian ini mendapati ekstrak daun betik dapat meningkatkan paras platelet dalam darah pesakit demam denggi.
Sudah pasti, keselamatan dan kajian toksikologi ke atas ekstrak daun betik ini telah dijalankan terlebih dahulu sebelum Jawatankuasa Etika Kajian memberi kebenaran untuk kajian ini dilakukan ke atas manusia ataupun pesakit.
Hasil kajian ini juga, Pusat Penyelidikan Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan brosur dan video panduan menyediakan jus daun betik untuk orang ramai yang dijangkiti demam denggi.
Walaubagaimanapun, ekstrak daun betik ini bukanlah menjadi rawatan kepada demam denggi sebaliknya hanya membantu meningkatkan paras platelet dalam darah yang menurun selain menambahkan cecair dan memberikan rasa selesa kepada peakit yang dijangkiti demam denggi.
=====
PUNCA KEMATIAN AKIBAT DENGGI
=====
Kematian akibat demam denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma darah yang berlaku apabila tekanan darah menjadi terlalu rendah dan tidak sampai ke jantung.
Risiko kematian akibat demam denggi ini dapat dikurangkan apabila pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital dan diberikan cecair tambahan. Pesakit yang mempunyai tanda-tanda demam denggi hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital dan jangan melengah-lengahkan dengan bergantung kepada rawatan alternatif yang dikatakan dapat membantu pesakit.
Seharusnya seluruh rakyat Malaysia berkerjasama dan berusaha untuk mencegah penularan denggi ini dengan membersihkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Peningkatan wabak demam denggi di Malaysia ini mencerminkan rendahnya tahap kebersihan dan keprihatinan kita.
Kesimpulannya janganlah kerana hendak mempromosikan sesuatu produk, kita menggusarkan pengguna dengan menyatakan herba dan pilihan lain adalah beracun semata-mata supaya mereka beralih kepada produk kita. 
"JADILAH PENGGUNA BIJAK"
Rahman Baco
Ahli Farmasi
Your Halal Trusted Pharmacist
KENYATAAN AKHBAR RASMI KEMENTERIAN KESIHATAN MENGENAI ISU DAUN BETIK di bawah :
=====
BAHAN RUJUKAN:
=====
1. Safety Evaluation of Oral Toxicity of Carica papaya Linn. Leaves: A Subchronic Toxicity Study in Sprague Dawley Rats - Prof Dr Ibrahim et. al. - Universiti Kebangsaan Malaysia
2. Institut Penyelidikan Perubatan, KKM - Carica papaya leaves juice significantly accelerates the rate of increase in platelet count among patients with dengue fever and dengue haemorrhagic fever 
3.Pusat Penyelidkan Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia - Brochure penyediaan jus daun betik untuk denggi
4. Langkah Penyediaan Jus Daun Betik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:
Previous
Next Post »