KISAH SERAM - PISAU




PISAU
oleh Kufaz

"Krik..krik..krik". Bunyi cengekerik di malam hari memberi suasana yang sunyi. Sewaktu itu jam baru sahaja berginjak ke pukul 8.00 malam.

Ida dan Erman merupakan sepasang suami isteri yang sudah 3 tahun berkahwin. Mereka masih tidak mempunyai anak. Bukan merancang cuma masih belum mempunyai rezeki.

Ida merupakan seorang suri rumah sejak berkahwin, manakala Erman pula merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang pemasangan barang elektronik di Shah Alam. Mereka tinggal di sebuah rumah teres 1 tingkat yang kecil. Kehidupan mereka amat sederhana.

Di malam yang sunyi itu, Erman baru sahaja pulang dari kerja. Ida pula sedang membersihkan lantai.

"Yang, abang pergi mandi dulu ye".

"Baik bang. Abang lapar ye? Ida belum masak lagi. Lepas mop lantai ni nanti Ida masak ye".

"Okay. Nanti sayang masak sedap-sedap tau".

Ida mengangguk.

Pekerjaan Erman kadang-kala memaksa beliau untuk pulang lewat ke rumah. Jika nasib tidak baik, beliau terpaksa berkerja hingga ke lewat malam. Ida tidak merungut. Malah memberi sokongan kepada suaminya itu dengan harapan usaha gigih dan ketekunan suaminya, boleh menjadi batu loncatan untuk naik pangkat atau mendapat rezeki yang lebih.

Sesudah lantai dimopkan, Ida mula ke dapur. Dalam hatinya ingin memasak masakan kegemaran suaminya iaitu ikan keli masak gulai lemak cili api Negeri Sembilan. Suaminya itu suka masakan yang pedas-pedas. Masakan yang boleh melepaskan rindu kampung halaman katanya.

Beliau pun mula mengambil bawang dan mengupasnya 4 biji. Kemudian diambilnya halia dan kunyit dan mengupasnya seinci setiap satu. Sesudah membasuh bahan-bahan yang dikupas tadi, kini beliau membuka peti ais dan mencari cili api kampung. Di selongkarnya laci sayur paling bawah di peti ais itu namun tidak jumpa.

"Ah.. sudah. Cili api habis", getus hatinya.

Kemudian, Ida cuba mencari santan pula. Juga tiada.

"Hm.. mesti dia akan merungut punya", kata Ida dalam hatinya.

Erman yang baru selesai mandi keluar dari biliknya. Beliau yang sudah mengenakan pakaian santainya terus duduk di sofa hadapan dan membuka televisyen.

"Bang...."

"Ye yang... ada apa?"

"Boleh tak sayang minta tolong sikit?"

"Tolong apa tu?"

"Tolong pergi kedai kejap. Cili dan santan dah habis. Ida nak masak masakan favorite abang ni".

Wajah Erman sedikit masam. Beliau baru sahaja mandi. Nak-nak pula badannya masih lagi penat kerana baru pulang kerja. Baru nak duduk, disuruhnya pergi kedai.

"Haish awak ni.. Dah tau barang habis kenapa tak bagitau abang sebelum balik tadi? Boleh singgah mana-mana ke".

"Maaf bang. Ida tak perasan barang habis. Time nak masak la baru perasan".

"Hm.. ye lah ye lah. Tunggu kejap, abang keluar pergi kedai depan simpang tu. Kejap lagi abang balik".

"Oh ye.. beli serai sekali ye".

"Haishh.. ada lagi yang tak cukup?"

"Takde dah. Hehe. Love you"

"Amboi.. pandai isteri abang ambil hati nak minta tolong ye".

Kalau diikutkan hati si Erman ini, beliau memang malas nak keluar balik sesudah pulang ke rumah. Tetapi membayangkan isterinya ingin masak makanan kegemarannya, beliau gigihkan juga untuk pergi ke kedai. Rasa lauk itu sudah terasa di lidahnya dengan hanya membayangkannya. Pandai Ida menuba Erman melalui perutnya.

Erman menghidupkan motornya dan beransur pergi.

Ketika ketiadaan Erman, Ida pun beralih untuk menyiang dan membasuh ikan keli. Beliau ingin memasak 4 ekor ikan. Dalam hatinya, jika tidak habis lauk malam ini, beliau akan buat bekal untuk suaminya pergi ke kerja esok. Begitulah Ida. Sentiasa memikirkan kesejahteraan suaminya itu.

Jam kini tepat pukul 8.30 malam.

Ketika Ida membelah perut ikan keli, suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Seolah segalanya terhenti. Bunyi cengkerik pun tiada kedengaran. Ida terasa pelik.

Lampu siling di rumahnya itu berkelip-kelip. Ida merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Namun, beliau cuba mengalih pandangan dengan kembali mengerjakan ikan di sinki. Lampu itu pun berhenti berkelip.

KRAKK SKREEEK...

Bunyi seakan pintu terkuak di bilik tidur.

"Hm.. cepat betul abang balik", ujar Ida dalam hati.

"Bang...?", panggil Ida namun tidak berjawab.

Walaupun dengan hati yang ketakutan, Ida beranikan diri untuk ke depan.

Semasa berjalan menuju keluar dari dapur itu, suatu bauan seakan darah jelas di ruang udara. Ia seakan bau darah daging busuk. Ida semakin tidak sedap hati. Lampu di siling dapur dan ruang depan kembali berkelip. Ida berjalan perlahan-lahan.

Mata beliau berlegar di ruang tamu.

Di situ Ida ternampak suaminya sedang duduk mengadap televisyen.

"Eh, bang. Bila balik? Sayang tak perasan pun".

Sapaan Ida itu tidak dijawab oleh suaminya. Pandangan lelaki itu terus fokus di televisyen yang tidak dihidupkan. Ida semakin curiga.

Beliau terus berjalan menuju ke arah suaminya dan berdiri di hadapan. Bauan busuk itu seperti datang dari badan yang sedang duduk di sofa itu. Wajah lelaki itu pucat. Terdapat lebam-lebam di wajahnya. Pandangannya masih melekat di kaca televisyen.

"Abang.. abang ok ke? Apa terjadi?"

Masih tidak berjawab. Wajah suaminya masam. Seperti muka seorang pendendam.

"Abang.. kenapa ni? Abang takutkan Sayang ni", ujar Ida dalam keadaan terketar. Beliau cuba memegang wajah suaminya.

Tiba-tiba suami itu mendengus. Ida tersentak dan terduduk di hadapan televisyen. Nafas suaminya turun naik seperti ingin menerkam beliau.

"A..abang? A...a.apa ni?"

Kemudian suaminya berdiri tegak dan memandang wajah Ida. Mukanya bengis. Dada Ida berkocak kencang. Lampu semakin galak berkelip. Ida semakin rapat ke meja televisyen.

"Ya Allah. Apa semua ni?", Ida berkata dalam hatinya.

Tiba-tiba suaminya melangkah beredar dari sofa itu. Suasana itu menjadi sungguh pelik. Ida terpana sebentar. Beliau merasakan suaminya seperti dirasuk. Ida cuba berdiri perlahan-lahan. Beliau cuba berjalan mengikut suaminya. Setiap langkah yang diambil diiringi dengan ketakutan yang semakin tidak keruan.

Suaminya kini masuk ke bilik tidur. Ida mengekori sehingga ke pintu bilik.

Ida cuma mampu perhati sahaja apa yang ingin dibuat oleh lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu seakan mencari sesuatu. Kepalanya toleh ke kiri dan kanan. Kemudian selongkar laci meja yang terdapat dalam bilik itu dan mengambil pisau lipat.

Beliau membuka pisau itu dan duduk di atas katil. Mata Ida terbeliak. Suaminya tidak pernah buat perkara begini. Lelaki itu pun terus mengambil pisau itu dan mula menoreh mukanya bertalu-talu sambil ketawa.

"Abangg!!!!"

Ida cuba untuk berlari mendapatkan suaminya namun langkahnya itu terhenti. Lelaki itu memandang wajahnya dengan senyuman sambil terus menoreh mukanya itu. Darah memancut membasahi katil dan lantai. Ida menjerit ketakutan.

Tiba-tiba lelaki itu berdiri dan cuba mula berlari ke arah Ida. Terkejut dengan itu, Ida segera menutup pintu bilik dan menghalang pintu itu daripada dibuka.

BAAM! BAAM! BAAM! Hentakan di pintu itu dari dalam. Ida sedaya upaya menghalang lelaki itu daripada keluar.

"Ya Allah... apa yang terjadi ni?", tangis Ida.

Pintu terus dihentak diiringi dengan cakaran yang kuat. Ida semakin tidak terdaya menghalang. Ida menangis dan menjerit semahu-mahunya.

Tiba-tiba hentakan itu terhenti. Suasana menjadi sunyi kembali. Lampu-lampu sudah tidak berkelip lagi. Ida menggigil. Beliau tidak mampu berdiri. Kakinya terasa longlai. Beliau takut untuk membuka pintu biliknya itu.

"Sayang??", suara Erman dari luar rumah.

Ida menoleh ke arah pintu depan rumah. Erman masuk dan melihat isterinya yang pucat lesi.

"Kenapa ni Sayang? Abang dengar Sayang menjerit tadi", ujar Erman.

Ida terus berlari dan memeluk Erman yang tercegat di pintu itu.

Sambil teresak-esak, Ida cuba menjelaskan apa terjadi.

"T..ta..tadi a..a..ada..oo..orang..mac...macam a..abang k..kat si..sini"

"Orang macam abang?"

"y..ye.. di..dia d..da..dalam bi..bilik bang"

"Hah?"

"Di..dia..to..toreh.. mm..muka dia..Sayang takut bang!"

Suami Ida itu memandang wajah isterinya sambil mengusap kepalanya dengan lembut.

"Dah..dah.. jangan risau. Abang ada kat sini".

Mereka berdua pun berjalan menuju ke pintu bilik itu. Ida menyorok di belakang badan suaminya. Badannya masih menggigil.

Erman memulas tombol pintu itu perlahan-lahan. Pintu itu pun terbuka. Ida semakin menyorok ke belakang.

Di bilik itu kosong dan gelap. Tiada kelibat lelaki tadi. Erman menghidupkan suis lampu dan kelihatan bilik itu tersusun rapi. Tiada darah di atas katil dan lantai. Tiada juga kesan laci diselongkar dan sebagainya. Segalanya seperti sedia kala.

Erman memusing dan mengadap wajah isterinya.

"Betul ke apa Sayang nampak?"

"Betul bang. Dia kejar Sayang tadi!"

Ida menangis.

"Dia toreh muka dia?"

"Iye bang.. pakai pisau.."

Erman memegang kepala isterinya dan memandang tepat di muka Ida sambil tersenyum. Tangannya mengambil pisau dari koceknya dan terus menoreh mukanya di hadapan muka Ida sambil ketawa. Mata Ida terbeliak.

"Dia buat macam ni ke?"







Part 2

Keadaan luar rumah suami isteri itu sungguh sunyi. Namun, tiada siapa mengetahui apa yang berlaku di dalamnya.

Mata Ida masih lagi terbeliak. Di depannya adalah seorang lelaki yang disangkakan suami. Tetapi melihat kelakuan dan kengeriannya itu, beliau tahu bahawa di depannya bukanlah orang yang dikahwini 3 tahun lepas. Bahkan ianya bukan manusia!

Ida dalam keadaan separuh mati ketakutan. Lelaki di hadapannya terus ketawa mengilai sambil menoreh mukanya. Darah memancut terkena muka Ida. Beliau semakin hilang kawalan diri.

Ida menolak lelaki itu dan berlari ke arah pintu depan. Lelaki tadi tercegat di situ sambil memandang tepat ke arah Ida. Beliau berhenti menoreh mukanya. Ida segera memegang tombol pintu dan cuba keluar dari rumahnya. Namun ianya tidak berhasil. Tombol sudah dipusing habis tetapi Ida tidak mampu menarik pintu itu. Puas beliau menggunakan kudrat wanitanya untuk membuka pintu itu namun tidak berkesan.

"Tolong!! Tolong!!", teriak Ida.

Lelaki itu mula berjalan perlahan-lahan ke arah Ida yang sedang kelam kabut di situ. Darah menitik sepanjang langkahannya. Pisau itu masih di tangan.

Untuk pertama kali, lelaki itu bersuara, "Aku dahagakan darah".

Mendengar suara yang garau itu membuatkan Ida semakin rancak menjerit.

"Tolong!! Tolong!! Tolong!!"

Kini lelaki tersebut berdiri cuma sehasta jaraknya dari Ida. Suri rumah itu sudah putus asa untuk membuka pintu. Beliau hanya mampu duduk tersandar. Ida cuba membaca ayat Kursi, namun disebabkan ketakutan yang amat dahsyat, beliau tidak mampu. Dengan badan yang menggigil dan mulut terketar, ianya menambahkan lagi kecelaruan dalam kepalanya.

Ida cuba memberanikan diri menatap wajah lelaki di hadapannya.

"A..a..apa k...kau..nak hah?!", tanya Ida sambil terketar.

Lelaki itu cuma berdiamkan diri. Terdapat senyuman di wajahnya. Lalu beliau menghunuskan pisau ke arah Ida.

"Kau.."

Ida menutup matanya dan menjerit. Lelaki tadi ketawa. Semakin lama semakin galak tawanya. Seluruh lantai dirasakan bergegar. Barangan di almari, pinggan di dalam kabinet berbunyi rancak disebabkan gegaran itu. Udara diselubungi bauan darah busuk yang kuat.

Terdapat kaca-kaca yang pecah bertaburan di lantai. Ianya jatuh dari meja. Ida merasakan pisau itu semakin lama semakin hampir padanya. Kedengaran nafas lelaki itu semakin kuat di muka.

Tiba-tiba, ketawa itu terhenti. Suasana kembali sunyi. Semuanya kembali tenang. Seolah tiada apa-apa yang berlaku. Ida terpana sebentar. Tangannya sedang menutupi mukanya. Beliau masih belum lagi mampu berhenti menggigil.

Beliau cuba mengumpul kekuatan untuk membuka matanya.

Ida terkejut. Kengerian yang dilihatnya tadi sudah tiada. Bauan busuk itu sudah hilang. Tiada lagi darah di lantai. Mata beliau melilau di segenap ruang di rumahnya itu. Semuanya nampak normal. Dalam keadaan longlai, beliau cuba bangkit. Ida mula berjalan satu langkah ke satu langkah. Perlahan-lahan.

Beliau masih ketakutan.

Semasa mata Ida meneliti ruang rumahnya, beliau terkejut melihat sesuatu di atas sofa.

Ianya adalah pisau yang digunakan oleh lelaki tadi untuk menoreh mukanya. Ia terletak mengadap Ida dengan kesan darah. Ida meratapi pisau tersebut dan mengangkatnya.

Beliau tidak mahu mengambil risiko lagi. Jika lelaki itu kembali, sekurangnya beliau mempunyai senjata. Kali ini, Ida akan lebih bersedia.

Pisau itu diteliti dalam-dalam. Beliau seakan kenal pisau itu.

Tiba-tiba Ida dikejutkan dengan bunyian tombol pintu dipusingkan dibelakangnya. Beliau segera mengadap pintu tersebut. Dadanya berdebar. Perlahan-lahan pintu terkuak.

"Sayang?", Erman menyapa sejurus sahaja masuk ke rumah. Pintu masih belum ditutup sepenuhnya. Beliau terpandang wajah isterinya yang berdiri di sebelah sofa.

Ida mendiamkan diri. Wajahnya penuh perasaan curiga. Anak matanya tidak beralih dari muka Erman yang baru masuk. Wajah Ida ketakutan.

"Kenapa ni? Muka sayang nampak pucat".

"Berhenti!", teriak Ida. Erman kaget.

"Sa..Sayang? Sayang ok tak ni", Erman semakin pelik.

Ida bergerak perlahan-lahan ke belakang sehingga ke dinding. Tangannya menggigil namun mampu untuk menghunuskan pisau ke arah Erman.

"Apa semua ni, Sayang? Mana dapat pisau tu?"

"Jangan rapat! Apa kau nak dari aku hah?!"

Erman semakin bingung. Beliau cuba merapati isterinya itu.

"Aku cakap berhenti! Jangan kau dekati aku!"

Erman degil. Beliau terus berjalan ke arah Ida untuk menenangkan isterinya itu.

"Jangan dekat aku cakap!", jerit Ida.

Kali ini, Ida tidak mahu terpedaya lagi dengan permainan syaitan itu.

"Sayang... ni abang la..s.."

Belum sempat Erman menghabiskan ayatnya, Ida menikam dada Erman dengan pisau itu. Ianya sungguh cepat dan spontan. Pisau itu dilepaskan dan melekat di dada suaminya.

Erman menggelupur. Mulutnya tersembul darah pekat.

"Sa...Sayanng"

Itulah perkataan terakhir Erman sebelum beliau mengeletek dan hembuskan nafas terakhirnya.

Ida tercegat sahaja di situ. Tangannya menggigil. Kakinya longlai. Lalu beliau pun terduduk. Menangis.

"Assalamualaikum...", suara itu datang dari luar.

Ida termenung sahaja di situ melihat mayat yang terbaring di lantai. Air matanya mengalir.

"Assalamualaikum! Cik ok ke kat dalam tu? Kami dengar bunyi bising dari luar tadi".

Masih lagi tiada jawapan daripada Ida. Suasana dalam rumah itu sunyi.

Lalu pintu itu dibuka perlahan-lahan.

"Astagfirullahalazim! Apa yang berlaku ni?!", teriak Pak Ridhwan, seorang AJK surau yang sentiasa berjalan kaki melalui rumah itu.

"Di....dia..syai...syaitan!", ujar Ida sambil menunjuk ke arah jasad yang terbaring itu.

Pak Ridhwan masuk dan melihat mayat itu. Wajah mayat itu sungguh mengerikan. Matanya terbeliak, mulutnya ternganga dan darah berlumuran di muka dan dadanya. Pisau itu masih lagi terpacak di situ.

"Inikan suami cik?"

"Bu..bukan... dia...syaitan"

"Bertenang cik...bertenang. Saya dapatkan bantuan"

Pak Ridhwan terus mengeluarkan handphone dan menghubungi balai polis terdekat serta beberapa warga kejiranan yang lain.

Ida tidak berganjak. Hanya terduduk di situ dan termenung.

Selang beberapa minit kemudian, orang semakin ramai berkumpul di luar rumah itu. Berita itu cepat benar tersebar. Sayup-sayup di hujung simpang itu kedengaran bunyi siren polis.

Setelah sampai, polis tersebut mengambil prosedur pengendalian kes bunuh. Dua orang polis forensik mula membuat garisan kapur di sekeliling mayat dan meletakkan tag. Mereka mula mengambil gambar.

Ida diuruskan oleh dua anggota polis wanita. Mereka menyelimuti Ida dan membawanya keluar. Pada awalnya Ida melawan kerana polis tersebut ingin menggari beliau. Tetapi setelah ditenangkan dan diberi jaminan tidak digari, Ida bekerjasama.

Semasa berjalan keluar, mereka lalu di hadapan motorsikal yang di parkir depan rumah. Motor itu kepunyaan suaminya. Di raga motorsikal itu terdapat satu plastik yang mengandungi cili, santan dan serai. Ida tergamam.

Wajah Ida seolah tidak percaya.

Polis itu memasukkan Ida ke dalam kereta polis. Ida hanya mampu memandang ke luar tingkap ke arah motorsikal tersebut.

"A..abang? A..Abang?", Ida mula bersuara. Barulah beliau sedar apa yang sebenarnya terjadi.

"Abangg!!!"

Ida terus dibawa pergi untuk direman. Ianya akan menjadi satu malam yang panjang bagi beliau.

*******************

"Tuan.. kami baru sahaja menerima laporan kajian mengenai senjata bunuh itu, Tuan!", ujar Inspektor Fahmi kepada ketuanya.

"Baik. Terangkan..",minta Sarjan Hakim.

Inspektor Fahmi memberi fail laporan itu kepada ketuanya. Fail itu dibelek.

"Kami dapati terdapat sesuatu yang pelik dalam laporan ini, Tuan".

"Hm.. menurut laporan ni, pisau itu memang dipegang oleh suspek dan digunakan untuk menikam?"

"Ye, Tuan. Cap jarinya disahkan. Tetapi bukan itu menjadi kemusykilan."

"Habis tu?"

"Seperti yang Tuan boleh lihat dalam laporan, kesan darah di pisau itu telah dapat dikenal pasti".

"Dari darah mangsa?"

"Ye.. tetapi saintis juga mendapati terdapat beberapa kesan darah yang lain bukan milik mangsa pada bilah pisau itu".

"Darah siapa?"

"Ianya darah yang dikenalpasti sebagai kepunyaan mangsa-mangsa pembunuhan daripada kes-kes terdahulu".

Mata Sarjan Hakim sedikit besar. Beliau berpaling dan memandang wajah anak buahnya itu.

"Macam mana senjata ini kita tidak ketemui dahulu?"

"Maaf Tuan, kes-kes ini masih terbuka kerana senjata bunuh tidak ditemui. Semuanya merujuk pada perkara yang sama iaitu mayat dijumpai sendirian dengan kesan tikaman tanpa senjata bunuh, tiada kesan atau DNA dari luar berdekatan tempat kejadian. Kes ini sahaja yang berbeza coraknya".

"Hm.. Apa yang buat ianya berbeza?"

"Saya tidak pasti Tuan. Menurut analisa ditektif kita, pisau ini telah jatuh ke beberapa tangan sebelum ini. Tetapi saya tidak pasti macam mana ianya boleh berada di tangan pasangan ini".

"Baik.. sekarang kita sudah mempunyai senjata itu, kita sudah boleh selesaikan kes ini dan kes-kes lalu dengan cepat".

"Baik Tuan!"

*******************

Setahun sudah pun berlalu sejak kejadian di rumah Ida itu.

Ida kini diletakkan di dalam Hospital Sakit Jiwa, Tanjung Rambutan. Beliau diklasifikasikan sebagai seorang yang tidak waras. Semasa perbicaraan di mahkamah, Ida sememangnya jujur dengan kenyataan beliau dan kerap memetik "Syaitan" dan "Hantu" memaksa hakim menyarankan polis membuat ujian kewarasan.

Setelah disahkan sebagai tidak waras, Ida ditempatkan di hospital tersebut dan harus menjalani sesi bersama doktor jiwa bagi memulihkan beliau mengikut waktu yang ditetapkan.

Kini genap sudah setahun Ida berada di hospital itu. Setiap malam beliau melihat tingkap dari sel beliau dikurungkan. Ida teringat akan suami yang dibunuhnya itu. Pandangannya kosong. Sedikit pun tidak dihiraukan wajah bulan yang cantik di atas sana. Mindanya melayang memasuki kenangan-kenangan lalu.

"Penuhnya orang kat sini, bang".

"Aah.. Abang suka sini. Orang panggil sebagai pasar karat".

"Pasar karat? Apa yang ada bang?"

"Banyak barang-barang. Abang kan minat barangan antik".

"Owh macam tu. Hm.. mesti abang suka dengan benda tu kan?"

"Mana? Pisau lipat ni? Hm.. nampak usang tapi macam ada nilai vintage dia tu".

"Apa kata Ida belikan untuk abang? Boleh jadi koleksi abang nanti".

Lamunan itu terhenti. Seperti setiap malam yang lainnya, air mata Ida mengalir. Setiap malam juga Ida menangis sendirian di selnya sambil teriak teresak-esak,

"Abang...kembalilah bang.. Ida rindu abang... Maafkan Ida bang..."


TAMAT

Sumber:fb kalimah paranormal team x





Previous
Next Post »