Chong Wei sah nombor satu dunia




KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei secara rasminya kembali menduduki takhta nombor satu dunia selepas dua tahun rankingnya jatuh mendadak ekoran kes doping. Dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Chong Wei menduduki takhta nombor satu dunia dengan 94,453 mata, kelebihan 5,509 mata daripada seteru dari China, Chen Long yang kini turun di tangga kedua. Tangga ketiga ranking dunia pula dihuni rakan senegara Chen Long yang juga seteru utama Chong Wei, Lin Dan dengan 75,388 mata. Kejayaan Chong Wei merampas semula gelaran itu muncul selepas menjuarai Terbuka Indonesia minggu lalu - juga gelaran keenamnya di Indonesia. Di kejohanan itu, Chong Wei, 34, hanya memerlukan aksi di separuh akhir untuk mendapatkan semula gelaran berkenaan daripada Chen Long. Gelaran baharunya itu sudah pasti menaikkan semangat Chong Wei untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil Ogos ini. Info ranking 1. Lee Chong Wei (MAS) 94,453 mata 2. Chen Long (CHN) 88,944 mata 3. Lin Dan (CHN) 75,388 mata 4. Viktor Axelsen (DEN) 72,384 mata 5. Jan O Jorgensen (DEN) 71,702 mata


Previous
Next Post »