KISAH SERAM - DICABAR



CABAR
oleh Kufaz

Memperkenalkan Lukman. Beliau seorang yang berbadan tinggi, agak bidang dan mempunyai kulit yang putih. Wajahnya agak kacak dan mempunyai karisma yang tersendiri. Kacukan Belanda dan Melayu la katakan.

Tiada apa yang unik mengenai beliau. Mempunyai kerja sebagai penulis yang baik, kereta besar, rumah yang cantik dan teman wanita yang persis model pakaian dalam wanita. Sekali pandang sememangnya kita boleh nampak bahawa beliau ini seorang yang berjaya dalam hidupnya.

Cuma ada satu perkara mengenai Lukman yang anda harus ketahui. Beliau seorang Atheist.

Lukman tidak percaya kewujudan tuhan. Segala rukun-rukun dan prinsip ajaran agama baginya dicipta oleh manusia terdahulu untuk tujuan politik, sosiologi dan sebagainya. Baginya, manusia ini baik kerana diri mereka adalah baik. Bukan kerana mengikut tuntutan agama. Lukman menganggap dunia ini terjadi disebabkan "kebarangkalian". Dan dari kebarangkalian itulah wujudnya sistem evolusi yang memakan masa berbillion tahun sehingga ke hari ini. Bayangkan.. Dinding rumah beliau sendiri mempunyai poster evolusi monyet hingga ke manusia seperti yang digambarkan oleh Charles Darwin, seorang saintis Atheist yang menjadi idolanya.

Pendirian dan pandangan ideologi Atheism beliau tidak berhenti untuk dirinya sahaja. Lukman telah menulis dan mengeluarkan buku-buku yang dijual secara online bagi meluaskan lagi pengikut dan penerangan mengenai penentangan terhadap ajaran agama itu.

Jika penganut agama mempunyai Nabi dan Dewa tersendiri, pengikut Atheism mempunyai Lukman. Begitulah "alimnya" Lukman.

Kini Lukman sudah mempunyai 200,000 pengikut. Masing-masing berterima kasih kepada Lukman kerana memberi "hidayah" dan membuka mata mereka terhadap penipuan agama. Mereka juga mempunyai group dan page di Facebook bagi meluaskan lagi ilmu mereka serta berkumpul untuk berkongsi pandangan satu sama lain.

Di suatu petang yang hening, Lukman terbaca sesuatu yang dihantar oleh rakan-rakan Atheist di ruangan group "Atheist United" itu.

"New Blood Event is coming next week! Jom Meriahkannya! Kami akan menjemput penulis buku "We Are Not From God" iaitu Lukman! Agak-agak beliau ingin hadir tak?"

Majlis itu merupakan salah satu majlis forum di mana para Atheist melayu akan berkumpul dan menjemput rakan-rakan baru "murtad" untuk diperkenalkan dengan konsep Atheism ini. Majlis tersebut selalunya berlangsung sekali setahun dan buat julung-julung kalinya Lukman dijemput sebagai panel utama.

Lalu Lukman pun menulis di ruangan komen,
"Sudah tentu! Saya akan hadir!"

Komen tersebut menerima 1000 likes tidak sampai 5 minit serta dibalas dengan ucapan terima kasih dan keterujaan bertemu dengan Lukman secara langsung.

Setelah set tarikh, masa dan lokasi majlis forum itu di handphone beliau, beliau terus membuat rujukan serta menulis isi-isi penting yang ingin beliau sampaikan di sana nanti.

Beliau ingin jadikan majlis ini nanti sebuah majlis yang terbaik yang pernah diadakan oleh komuniti itu.

******************

Seminggu sudah berlalu dan kini tibalah hari majlis forum itu diadakan.

Lukman yang mengenakan jeans dan T-Shirt merah yang tertulis "We Are One" tampak segak di mata pengikut-pengikutnya. Ruangan forum itu diadakan di sebuah banglow besar yang mewah kepunyaan salah seorang ahli komuniti yang juga peminat setia Lukman. Ia memuatkan 100 orang di sana.

Mereka tidak dapat mengadakan majlis ini di tempat lain. Dengan agenda dan intipati forum itu, sudah pasti ianya tidak akan sekalipun mendapat kelulusan daripada mana-mana Majlis Perbandaran.

Jadi memiliki pengikut yang mempunyai wang dan harta merupakan aset yang sangat bernilai bagi komuniti yang semakin membesar ini.

Lukman duduk di kerusi atas pentas yang disediakan. Di depannya terdapat 40 ahli sedia ada dan 60 ahli baru yang begitu beria dengan Atheism ini. Terdapat meja di sebelah ruang besar itu untuk buffet dan setiap hadirin diberi kerusi untuk duduk. Pihak penganjur ingin memastikan segalanya berjalan lancar dan setiap orang yang hadir dalam keadaan selesa. Setiap daripada mereka juga diberikan risalah mengenai perjuangan mereka.

Lukman memberi ucapan dan berkongsi idea beliau mengenai Atheism ini dengan penuh perasaan. Beliau berkongsi bagaimana sains merupakan ilmu tulen dan mematahkan hujah-hujah agama melalui sains. Daripada terciptanya dunia ini sehingga ke susun jalur politik. Beliau juga menekankan betapa diri manusia ini ditindas oleh agama. Lukman juga memberitahu bahawa orang yang mempunyai agama ini merupakan golongan bodoh. Hanya tahu mengikut membuta tuli berdasarkan buku kitab yang dikatakan ditulis beribu-ribu tahun yang lalu. Dalam isinya, banyak kali disebut "syurga neraka tidak wujud", "manusia makhluk yang istimewa, tak layak digelar hamba kepada sesuatu yang diimaginasikan oleh manusia" dan sebagainya.

Hadirin menepuk tangan sebaik Lukman memberi punchline-punchline yang padu. Beliau merasakan dirinya agung. Dan usaha beliau untuk "menyedarkan" masyarakat semakin berkembang.

Majlis itu mengambil masa 3 jam. Ianya termasuklah acara sua kenal, perkongsian maklumat, makan ringan, sesi bertemu penulis serta aktiviti berkumpulan. Punyalah besar majlis ini sehingga terdapat aktiviti cabutan nombor bertuah dengan pelbagai hadiah yang menarik ditawarkan. Salah satu hadiahnya merupakan tiket penerbangan ke New Zealand. Komuniti ini ditaja oleh beberapa ahli perniagaan yang kaya di dalamnya.

Setelah selesai sesi majlis tersebut, Lukman terus berangkat pulang. Agendanya sudah selesai untuk hari itu.

******************

Jam sudah menunjukkan pukul 8 malam.

Lukman sedang asyik bersama iPad nya. Beliau ingin membaca artikel-artikel berkenaan Atheism, politik dan sebagainya menerusi laman sesawang yang diminatinya. Dengan keadaan teman wanitanya yang keluar negara atas urusan kerja, maka beliau tidak mempunyai banyak benda untuk dibuat.

Sambil membaca, beliau mengangkat cawan kopi di atas meja dan dihirup sedikit.

Tiba-tiba terdapat ketukan di pintu.

"Tokk! Tokk! Tokk!"

Lukman meletakkan iPad nya di meja kopi dan memandang jamnya.

"Haish.. siapa pula yang datang malam-malam ni?", ujar Lukman dalam hati. Setahu beliau, tiada siapa yang beritahu ingin datang atau menjemput sesiapa ke rumahnya.

Perlahan-lahan beliau melangkah dari ruang tamu ke pintu depan.

Sampai sahaja di pintu itu, Lukman memandang lubang intip untuk melihat di sebaliknya. Terdapat seorang lelaki muda, berkulit sawo matang berbadan sederhana di situ. Wajahnya tidak kacak, namun tidak juga buruk. Sederhana sahaja.

Pintu itu pun dikuak.

"Ye? Cari siapa?"

Lelaki itu memandang Lukman. Ada senyuman di wajahnya.

"Cik Lukman? Boleh saya masuk? Saya mendengar ucapan cik di majlis petang tadi. Saya terasa seperti ingin bersembang dengan cik tentang berberapa perkara".

Lukman memandang tepat ke mata jejaka di depannya. Dalam kepalanya cuba mengingat siapa jejaka itu. Dia salah seorang hadirin kah? Atau salah seorang ahli komuniti group Facebook kah? Lukman agak buntu di situ. Terdetik di hatinya, jejaka di depannya itu barangkali mempunyai persoalan lagi mengenai Atheism dan ingin menjadi pengikut yang baik. Lukman terfikir, jika ada orang yang beria ingin mengikut dan mencari ilmu, takkan beliau menolak?

"Boleh..boleh.. dan Cik ni siapa ye?", tanya Lukman.

"Owh.. maafkan saya. Nama saya Mohd. Tarmizi Hamid. Panggil saya Mizi sahaja", tangannya dihulurkan untuk bersalam.

Lukman membalas salam itu dan berkata,

"Ye.. masuklah Mizi. But please..pardon the mess".

Mizi cuma tersenyum.

Lukman membawa Mizi duduk diruang tamunya. Terdapat beberapa longgokan majalah di atas meja itu dan ianya segera dialihkan ke tempat lain. Lukman meminta maaf di atas rumahnya yang sedikit berselerak.

"Sorry ye. Biasalah kan. Hidup membujang begini".

Mizi cuma mengangguk.

"So.. coffee or tea?".

"Air kosong pun ok".

"Wow.. jaga badan. Good for you".

Lukman mendapatkan gelas di atas meja dan mengisinya dengan air kosong daripada botol yang diisinya dalam peti ais. Setelah diisinya hampir penuh, beliau meletakkan di atas meja kopi berhadapan Mizi.

"So.. Apa perkara yang ingin kamu sembangkan tu?", Lukman memulakan perbincangan.

"Begini. Tadi saya sungguh kagum dengan ucapan dan hujahan daripada cik. Tetapi saya harus bertanya pada cik. Benarkah sebenar-benarnya Tuhan itu tidak wujud?"

Lukman tersenyum sinis. Beliau sudah mengagak bahawa perbincangan di ruang tamu itu akan menjadi sesi debat kecil tidak lama lagi. Tetamu di hadapannya itu, ingin "tarbiah" beliau agaknya. Selepas menghirup kopinya, Lukman bersuara,

"Sebelum saya cakap apa-apa, boleh saya tahu. Adakah Mizi ni seorang yang masih percayakan Tuhan?"

Mizi tidak menjawab. Beliau hanya memandang sahaja wajah Lukman.

"Begini Mizi. Let say saya anggap Mizi ni seorang yang mempunyai agama ye. Orang yang masih mempercayai pada entiti ghaib di atas sana, memang susah untuk menerima bahawa Tuhan itu tiada. Minda mereka telah di doktrin dengan ajaran serta peradaban dalam agama itu sendiri. Ianya telah disuapkan ke dalam minda sejak kecil lagi. Mana mungkin mereka akan percaya bahawa Tuhan itu tidak wujud".

Mizi menyandarkan dirinya di sofa itu. Wajahnya fokus. Selepas menarik nafas, beliau bertanya,

"Jadi, jika tiada Tuhan, bagaimana pula dunia ini terjadi? Takkan secara tiba-tiba sahaja?"

"Mizi..Mizi.. Seperti yang telah saya beritahu petang tadi, dunia terjadi dengan kebarangkalian. Kita sendiri tidak tahu bagaimana ianya terjadi. Tetapi sains dapat mengeluarkan teori daripada kajian yang dijalankan. Macam mana berlakunya kejadian "Big Bang" dan tercetusnya evolusi daripada mikro-organisma yang terjadi daripada pembentukan dunia ini".

Selepas berhenti seketika, Lukman menambah,

"Seperti saya katakan, sains dapat membuktikan sesuatu di mana agama cuma memberitahu kita ianya terjadi secara magik. Ada sesuatu yang mencipta. Sains dapat membuktikan setiap perkara secara fizikal. Agama pula secara ghaib. Mana kan mungkin".

Perdebatan kecil itu menjadi rancak. Masing-masing memberi hujahan antara satu sama lain. Dari satu topik ke satu topik dibincangkan di situ. Dari bagaimana dunia terjadi sehingga bagaimana agama itu menjadi skim tipu yang digunakan untuk mengawal manusia. Tiba-tiba perdebatan itu tiba di satu soalan yang tajam daripada Mizi.

"Jika betul sains itu adalah kebenarannya. Bagaimana pula ia menerangkan mengenai roh?"

Lukman memandang wajah Mizi. Beliau menarik nafas panjang. Beliau sudah pernah menerangkan perkara ini terhadap salah seorang komentar di group Facebook dahulu. Dan kini, beliau akan memberikan kepada Mizi.

"Roh mengikut agama adalah sesuatu yang kita tidak nampak dan melekat dalam badan. Itu menurut kepercayaan kamu. Tetapi Mizi tahu tak, melalui kajian sains dan perubatan, sebenarnya kita semua tidak mempunyai roh. Nyawa kita diklasifikasikan sebagai denyutan elektrik yang dihasilkan dari otak kita. Elektrik itu yang menggerakkan otak dan otak pula berfungsi sebagai penggerak otot-otot dan organ-organ yang lain. In fact, kalau Mizi buat kajian sedikit, Mizi akan menjumpai bagaimana otak memberi isyarat kepada otot untuk bergerak. Melalui denyutan elektrik".

Lukman rasa bahawa beliau sudah menjawab semua persoalan Mizi yang berat. Baru sahaja beliau ingin berehat seketika, Mizi menanya lagi.

"Jadi, menurut cik, orang Atheist ni tak percaya adanya roh, kan?"

Lukman mengangguk.

"Bagaimana pula dengan hantu? Bagaimana Atheism menjawab tu? Kan ada kes mengenai kerasukan hantu dalam badan manusia. Bagaimana cik Lukman?"

Lukman berfikir seketika. Beliau mempunyai jawapan terhadap soalan itu. Cuma beliau ingin mencari jalan untuk menjawabnya secara halus dan tidak menyinggungkan.

"Mizi.. Hantu merupakan salah satu imaginasi manusia tanamkan sejak kecil. Orang dewasa selalu gunakannya untuk menakutkan anak-anak. Kita gambarkan hantu dengan wajah yang buruk dan sebagainya. Tetapi hantu semua tidak wujud. Ianya cuma mainakan psychology manusia sahaja. Semakin anda percaya adanya hantu, maka semakin rancak la ianya bermain dalam kepala anda."

Lukman berhenti sebentar. Beliau mengambil beberapa nafas. Selepas menghirup kopinya lagi, beliau sambung,

"Macam kes kerasukan atau histeria atau mana-mana yang relate dengan hantu, ianya terjadi di atas sakit mental. Terdapat ubat dan treatment untuk penyakit itu. Ada banyak jurnal dan kajian mengenai hal ini. Ianya semua di minda. Kalau kita kuat, kita takkan ada pemikiran mengenai hantu sebegitu".

Wajah Mizi beransur tenang. Ia seolah ada sesuatu yang difikirkannya.

"Baik cik Lukman. Saya suka cara cik Lukman menjawab"

"Saya seronok dapat berbual sebegini".

Mizi memandang tepat ke wajah Lukman. Beliau tersenyum.

"Jadi cik, orang Atheist ni kiranya tidak percaya apa-apa selain sains la ye?"

"Ye Mizi.."

"Apa kata kita uji kepercayaan cik Lukman itu. Setuju?"

Lukman berwajah pelik. Beliau tatap mata Mizi.

"Uji?"

"Iye... mari kita uji. Orang Atheist tak percaya pada hantu kan? Apa kata kita berdua pergi ke satu tempat yang dikatakan sangat berhantu dan cik sendiri nilaikan".

Lukman terpana sebentar. Beliau memandang wajah fokus lelaki di hadapannya. Lelaki itu cuba mencabar beliau. Takkan beliau ingin tewas kepada seorang yang biasa di depannya itu. Jatuhlah air mukanya sebagai seorang ahli falsafah di kalangan komunititnya jika mereka tahu Lukman takutkan benda yang beliau sendiri tidak percaya. Tanpa berfikir panjang, Lukman menerima cabaran itu.

"Baik! Jika itu yang dapat memuaskan hati Mizi, mari kita lakukan. Tetapi ada satu syarat daripada saya".

"Apa syarat itu?"

"Jika saya dapat buktikan bahawa hantu itu tidak wujud, maka cik Mizi akan menjadi pengikut saya nombor satu saya, bagaimana? Cik Mizi akan menjadi pembantu saya dalam apa jua rencana dan perancangan saya dalam mengembangkan ideologi Atheism kepada masyarakat. Setuju?"

Mizi tersenyum. Berlagak benar orang di hadapannya. Beliau mengangguk tanda setuju.

"Baik! Mari kita pergi cik Mizi. Just lead the way".

******************

Lukman membawa tetamunya itu ke tempat yang disarankan menggunakan keretanya. Tempat itu merupakan sebuah banglo yang telah lama ditinggalkan. Ianya terletak sekitar tempat terpencil di Kuala Lumpur. Semak samun, lalang tinggi menghiasi kawasan suram itu. Keadaan rumah itu tidak berjaga.

Banglo itu agak besar. Bumbungnya runtuh membenarkan cahaya bulan masuk hingga ke lantai. Cat di dinding sudah merekah dan berkulat. Tidak tahu apa warna sebenarnya cat asal. Akar-akar pokok berselirat di lantai dan tiang. Sesekali angin bertiup, terdengar siulan yang mengerikan apabila melalui rumah itu. Rumah itu seakan tidak menjemput mereka berdua.

"Kita sudah sampai cik Lukman".

"Sini? Apa yang menakutkan sangat? Cuma sebuah rumah terbengkalai je".

Lukman masih dalam mood berlagak. Mizi menggelengkan kepalanya.

"Mari kita masuk".

Lukman hanya mengekori Mizi dari belakang. Mereka terpaksa meredah lalang yang tinggi untuk masuk ke dalam rumah itu. Sekali sekala kaki mereka terpijak becak di atas lantai rumah. Lukman mengeluh. Habis kasut mahalnya kotor.

Setelah berjaya memasuki tempat yang suatu ketika dahulu dijadikan ruang tamu, mereka berdua berhenti. Terdapat air menitis dari siling dan cahaya bulan sejalur dua masuk dari bumbung yang roboh di atas. Setiap nafas dan percakapan mereka bergema dalam rumah itu.

"Sini cik Lukman".

"Ok. So mana hantunya?"

Mizi ketawa kecil.

"Sabar. Begini caranya. Cik Lukman akan duduk di lantai ini selama 10 minit bersendirian. Selepas itu kita jumpa dan cik boleh balik semula ke rumah. Itu saja".

"Itu saja? Mizi nak pergi mana?"

"Oh.. saya akan berdiri di tempat lain. Kalau saya ada di sini nanti cik Lukman tak akan rasa sendirian. Ia memerlukan cik Lukman alami sendiri. Takkan takut kot cik Lukman?".

Lukman memandang Mizi dengan wajah sinis.

"Well.. kalau itu yang Mizi nak, saya layankan saja. Apa ada hal? Tetapi ingat ya perjanjian kita. Lagi 10 minit, Mizi akan jadi pengikut terulung saya tau".

"Baik. Cik duduk bersila dulu. Saya minta diri".

Lukman mengangguk dan duduk bersila di lantai kotor itu. Mizi sudah pun berlalu ditelan kegelapan malam.

Lukman mula set jam di tangannya. Beliau set jam detik kepada 10 minit.

"This should be easy", ujar Lukman dalam hati.

******************

2 minit sudah berlalu. Lukman masih terpegun di situ. Beliau mengeluh. "Bosan la macam ni". Nafasnya ditarik perlahan-lahan. Dalam suasana sunyi sebegini, setiap saat terasa bagaikan sangat lama. Apatah lagi 10 minit. Terasa setahun.

Suasana sangat sunyi. Cuma terdengar cengkerik-cengkerik. Ianya sunyi sehinggakan boleh terdengar jantung Lukman berdegup.

Lukman periksa jam di tangannya.

"Sial.. baru 3 minit", getus hatinya.

Oleh kerana kebosanan, Lukman cuba bersiul. Siulan itu mengikut lagu yang selalu dinyanyikan oleh ibunya sewaktu kecil. Siulannya itu bergema. Sedang rancak bersiul, tiba-tiba siulan beliau dijawab oleh siulan yang lain. Ia mengikut sealunan.

Lukman tersentak.

"Celaka betul. Agak-agak la nak menakutkan aku", katanya dalam hati.

"Woii Mizi. Agak-agak la weh. Itu usaha picisan sahaja la nak menakutkan aku! Itu je ke kau boleh buat?", teriak Lukman.

Namun tiada jawapan dari mana-mana. Lukman mendengus. Beliau cuba mengeluarkan handphone dari poketnya.

"Ah.. Adui. Macam mana aku boleh tertinggal handphone dalam kereta ni?", keluh hatinya.

Tiada apa yang boleh beliau buat kini. Hanya duduk bersila dan meniti masa. Beliau melihat jam tangannya.

"Cantik! Lagi 5 minit..."

Dalam kepalanya sudah terbayang apa yang ingin beliau tulis di ruangan status dan group Facebook. Ini kejayaan yang besar bagi beliau. Dengan ini, beliau dapat buktikan apa yang beliau katakan adalah benar. "Ahli agamawan" pasti akan terdiam selepas ini. Bukan itu sahaja, beliau bakal dapat pembantu baru. Dan transformasi seseorang yang kuat agama kepada seorang atheis, akan menjulang dirinya!

Lukman tersenyum.

Tiba-tiba terdengar tapak kaki berjalan di belakangnya.

"Prakk! Tapp! Tapp!", bunyi itu semakin lama semakin hampir.

"Eh, Mizi. Baru 5 minit. Sabarlah. Saya tak takut lagi la.. Haha", ujar Lukman sambil berpaling ke belakang.

Sunyi. Tiada apa yang dinampak oleh Lukman. Walhal bunyi tadi benar-benar seakan berada di belakangnya. Dada Lukman mulai berdebar.

"Mi...Mizi?", bisik Lukman.

Beliau kembali bersila sedia kala semula. Lukman cuba amati bunyian di sekelilingnya. Hanya siulan angin yang dapat didengar selain bunyi ranting-ranting dan dedaunan pokok.

"Ceh.. old school prank la weh", beliau cuba tenteramkan hatinya.

Tiba-tiba tapak kaki itu kembali. Tetapi kali ini lebih cepat. Ibarat berlari!

Lukman sedikit terlompat dari duduknya. Namun apabila berpaling, Lukman masih tidak nampak apa-apa kelibat yang menghampirinya.

"O..okay. Apa yang kau cuba buat Mizi? Kau kat mana w...Uhuk! Uhuk! Wekk!"

Lukman hampir termuntah apabila tiba-tiba diserang bauan yang sangat busuk. Bau itu sungguh dekat dengan beliau. Matanya berair.

"Celaka.. bau apa ni? Macam bangkai!"

Sesudah habis mengeluh, terdapat bayangan hitam yang melintas belakangnya. Lukman berpusing. Sekali lagi beliau tidak nampak apa-apa. Tetapi kali ini, beliau merasa ada angin yang menyapa mukanya dengan kuat.

Nafas Lukman turun naik. Beliau memejamkan matanya. Di bibirnya berbisik perlahan,

"There's no such thing as ghost. Semuanya imaginasi aku. Benda-benda ni mana wujud..", berulang kali beliau mengulangi ayat itu bagaikan sedang berzikir.

Sambil "berzikir" dan memejamkan mata itu, Lukman terasa bagaikan ada kelibat berada tepat-tepat di belakangnya. Nafas kelibat itu sungguh kuat. Lukman dapat rasakan di belakang kepalanya. Badan Lukman menggigil. Beliau terasa sangat berat. Ibarat tubuh badannya sedang diserap tenaga keluar.

Kelibat yang berada di belakang Lukman itu mula mendengus. Bauan bangkai itu sungguh kuat.

Bibir Lukman masih lagi menzikirkan ayat yang beliau guna untuk tenteramkan diri itu.

"Yes.. benda ni imaginasi aku je. Mana wujud benda-benda ni. Imaginasi aku.. Imaginasi.. Ye.. Ia takkan terjadi kalau aku beranikan diri. Benda-benda ni mana wujud.. Tidak wujud.. Tidak wujud!! Ni kerja Mizi nak menakutkan aku sahaja!!"

Lukman menjerit dan terus berdiri.

Kelibat di belakangnya tadi hilang. Bauan busuk itu pun sudah tiada. Lukman berwajah fokus. Beliau masih tidak mahu mengaku kalah. Baginya, segala teori dan kepercayaannya itu betul. Dan ini semua mainan mindanya.

Suasana menjadi sunyi kembali. Dalam hatinya puas.

"Kan betul. Semua ni permainan minda. Ni mesti kerja si Mizi ni. Entah siapa dia bawak lagi nak takut-takutkan aku. Tak berhasil la weh!"

Tiba-tiba, jam tangannya berbunyi, "Teet! Teet! Teet!".

"Cantik! Masa dah tamat! Aku menang! Hahaha.."

Beliau mula melangkah kaki sambil menjerit.

"Mizi! Masa dah tamat! Haha.. Aku menang! Mana kau?"

Sayup-sayup kedengaran suara Mizi di luar rumah.

"Tahniah cik Lukman! Tahniah! Saya ada di sini!".

Lukman meredah kembali lalang-lalang tinggi untuk keluar dari rumah tersebut. Hatinya terasa riang ria. Beliau sedang menikmati kemenangannya.

"Aku kat luar dah ni Mizi. Mana kau?"

"Sini cik Lukman!"

Lukman terpandang bayangan Mizi di pokok hujung sana. Lukman terus bergerak ke arahnya.

Sambil berjalan, Lukman teriak dengan lagaknya,

"Aku dah cakap Mizi. Semuanya imaginasi je. Pandai kau kan cuba takutkan aku! Weh.. tak berkesan la. Mana ada hantu! Itu aku tau kerja kau dengan entah siapa-siapa kau bawak tolong. Haha. Aku menang! Aku menang!"

Lukman sudah sampai di pokok itu namun mulutnya masih mengomel.

"Itu semua kerja prank kau kan? Aku dah cakap. Mana wujud roh, hantu ni. Even Tuhan pun. Mana wujud! Haha.. Aku tak percaya langsung".

Tiba-tiba, Lukman berasa hairan. Mizi tiada di pokok tersebut. Matanya melilau mencari.

"Mizi? Mizi?"

Beliau cuba cari di sekeliling pokok itu namun tidak juga ketemui. Di hadapan pokok itu terbentang luas padang yang tinggi lalangnya. Terdapat batu-batu yang samar-samar untuk dilihat di situ. Lukman mengambil satu langkah ke depan.

"Bukk!", kaki Lukman tertendang salah satu batu di atas tanah itu.

Lukman mengerang dan tertunduk.

"Aduss... sakitnya. Macam mana aku tak perasan batu ni?"

Lukman cuba amati batu yang baru ditendangnya. Cahaya bulan sedikit sebanyak membantu. Mata Lukman terbeliak dan membuatkan beliau tersandar di pokok itu.

Batu itu adalah batu nesan yang tertera nama "Mohd Tarmizi Hamid". Dadanya berdegup kencang!

Tiba-tiba terdengar suara yang berbisik di belakang telinga Lukman.

"Sekarang kau percaya?"

******************

Lukman berlari sepantas yang mungkin. Tidak cukup tanah beliau. Beliau tidak berpaling, tidak menoleh. Pandangannya hanya di depan sahaja melalui semak samun. Beliau terus berlari ke arah keretanya. Calar-calar di lengan dicakar ranting tidak dihiraukan.

Sampai sahaja di kereta, beliau terus bergegas undur dan pergi meninggalkan tempat berpuaka itu. Ianya menjadi suatu pengalaman yang takkan dapat beliau lupakan.

Badannya menggigil sepanjang pemanduannya sehingga terbawa di rumah.

Kejadian ini menyebabkan beliau demam selama 3 hari.

Beliau cuba sedaya upaya mencari jawapan kepada perkara yang di alaminya berminggu-minggu. Sehingga melihat kembali CCTV yang berada di rumahnya.

Dalam video CCTV itu, tiada langsung kelibat Mizi. Apa yang ada cuma Lukman membuka pintu, menyalam udara kemudian duduk bersembang bersendirian di sofa. Air kosong yang diberikan untuk Mizi pun tidak berusik sehingga ke akhirnya.

******************

Kini sudah 3 tahun sejak kejadian itu berlaku. Ianya mengubah segalanya bagi Lukman. Lukman kini bukan lagi yang dahulu. Dulu beliau angkuh, kini tidak lagi. Setelah kejadian malam itu, beliau membuang masa lalunya. Dan kini beliau digelar sebagai Ustaz Lukman.

Ps: Hidayah Allah tiba daripada bermacam cara.


Sumber: kalimah paranormal team x
penulis:kufaz



Previous
Next Post »