KISAH SERAM - BLOK CEMPAKA



BLOK CEMPAKA 

Linda mengemas-ngemas meja study yang berselerakkan dengan nota-nota peperiksaan. Kelegaan jelas terpancar diwajah kecil itu. Habis sudah bebanan di kepalanya untuk semester pertama ini. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Masih ada lagi 7 jam sebelum basnya bergerak balik ke kampung halaman. Beg baju sudah siap dikemas semalam. Tidak sabar rasanya ingin bertemu dengan keluarga tercinta.

Tok!Tok!Tok!

Bunyi pintu biliknya diketuk kuat. Linda tersentak. Entah macam mana boleh dia tertidur barangkali terlalu penat dan mengantuk akibat berjaga semalam. Terhuyung hayang dia berjalan menuju ke pintu. Pintu bilik dibuka sedikit, tiada siapa. Linda meninjau-ninjau kiri dan kanan laluan tingkat 1 itu, kosong. Hatinya cuba bersangka baik. Mungkin mimpi.

"Alamak! dah pukul 7 petang, macam mana aku boleh terlelap ni." Marah Linda sendirian. Pantas sahaja dia menarik tuala dan bakul mandiannya menuju ke bilik air yang terletak di hujung sekali. Biliknya dikunci terlebih dahulu. Entah kenapa terbit pula rasa seram. Suasana yang sunyi dan hari yang makin gelap menyebabkan Linda terasa seperti diperhati.

"Dah kenapa lampu bilik air tak boleh on? Waktu-waktu macam inilah yang dia nak buat hal." Bebel Linda sambil menekan suis berkali-kali. Ikutkan malas sudah dia hendak membasahkan badan namun dek kerana rasa melekit peluh di badan dia perlu juga mandi. Perjalanan pulang ke kampung juga mengambil masa 7 jam tak pasal-pasal berbau nanti.

Sedang dirinya membasuh muka di sinki, kedengaran pintu masuk utama di tingkat satu itu ditutup kuat. Linda tersentak, perlahan-lahan dia menjengahkan kepalanya melihat ke arah pintu.

"Siapa?" Jerit Linda. Sunyi tiada jawapan.

Matanya memandang ke arah pokok-pokok di tepi blok itu, tidak pula kelihatan pokok bergoyang. Angin pun tiada. Macam mana pintu boleh tertutup kuat. Segera Linda membasuh mukanya, hajatnya untuk mandi tidak lagi diteruskan. Hatinya tidak sedap.

BANGGG!!!

Sekali lagi pintu masuk tingkat 1 itu dihempas kuat. Linda kaku melihat dirinya di cermin.

"Ya Allah, sekiranya syaitan nirrajim itu hendak menganggu hambamu ini, kau kuatkanlah hatiku, imanku. Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam." Linda berdoa sendirian.

Dia melangkah keluar menuju ke biliknya pantas. Kali ini pintu yang tertutup rapat tadi terbuka perlahan-lahan. Lembaga berambut panjang berkain putih jelas kelihatan berdiri di muka pintu masuk itu. Terketar-ketar Linda membuka pintu biliknya. Mulutnya tidak berhenti membaca ayat-ayat suci.

Linda bersiap sepantas yang mampu, beg baju dicapai. Kakinya melangkah keluar laju menuju ke pintu keluar. Belum sempat Linda melangkah pintu tadi sekali lagi ditutup kuat. Linda tidak bergerak. Kakinya kaku. Bunyi seretan kaki di belakangnya membuatkan jantungnya berdegup kencang.

"Linda... kau nak balik? Siapa benarkan kau balik? sunyilah aku nanti." Suara halus berbisik ditelinganya.

"Tidak! tidak! pergi! pergi! jangan ganggu aku! pergiiiiii!" Linda menjerit seperti orang hilang akal. Linda berlari keluar sambil menjerit-jerit.

KEDEBUKK!

Linda terlentang jatuh.

"Cik, awak okay ke? cik kenapa?" Lelaki beruniform guard itu menegur Linda.

Linda kebingungan. Matanya memandang ke arah pintu masuk tingkat 1 blok cempaka itu, kosong.

"Cik nampak sesuatu ke? kenapa tak balik lagi? semua orang dah balik kampung. " Lelaki itu bertanya lagi.
"Waktu maghrib ni memang dia suka keluar. Bahaya. Nasib cik tak kena teruk. Takkan cik tak tahu lagi blok cempaka ni macam mana. Nasib baik hati saya tergerak nak meronda waktu ni. Ikutkan memang saya takkan meronda waktu maghrib. Habis ni cik nak balik kampung ke? Kejap saya call teksi." Lelaki tadi mengeluarkan telefon miliknya.

Linda tidak bersuara. rasa takut, terkejut masih lagi berbaki dalam dirinya.

Lantas Linda teringat rakan biliknya, Fatin ada cerita beberapa minggu lepas ada pelajar tengah study di dalam biliknya di tingkat 3. Sedang dia melihat ke luar tingkap kelihatan Pak Guard sedang berjalan-jalan. Pada mulanya dia menganggap itu perkara biasa namun dia mula terfikir, yang dirinya ada di tingkat 3 macam mana Pak Guard boleh berjalan satu aras dengan tingkat 3.

Wallahualam.


sumber : kalimah paranormal team x
Previous
Next Post »