KISAH SERAM - BELAAN



-BELAAN-

Haris memandang orang tua itu pelik. Langsung tiada tanda-tanda sakit.. 

"Pak Lang! Rajin siram pokok malam-malam ni. Sihat dah ke? "
Dia menjerit dari dalam kereta. Pelik betul dia. Orang tua tu memang tak sakit. Sihat saja. Nazak apatah lagi. Sedangkan dia balik pun atas desakan maknya. Kononnya pak langnya itu sedang nazak dan hanya menanti waktu menemui pencipta.

Pertanyaan Haris tak dijawab.. Pak lang Awi terus menyiram pokok mangga besar itu. Terus menerus tanpa menyiram pokok lain.

"ish! Buang tebiat agaknya orang tua ni." Haris terus memandu kereta balik ke rumah. Hari dah lewat malam. Maknya mesti sudah tidur. Mujur saja kunci pendua memang dia simpan.

"Sihat je Pak Lang Awi tu mak.. "
"Hah? Bilanya kau jumpa Pak lang kau tu? Bukan lewat malam baru kau sampai ke dari KL? " pelik benar Mak Ton dengan anaknya itu. Bila masa mereka berjumpa.

"Memanglah lewat malam tadi baru Haris sampai. Tapi sebelum rumah kita kan lalu rumah Pak Lang dulu. Haris nampaklah Pak Lang tu. Sihat je dia. Boleh siram pokok lagi malam-malam. Tapi tu la.. Haris tegur tak dijawabnya pun. Entahlah. Tak dengar kot.. "
Mak Ton terdiam mendengar penjelasan Haris. Sudah, kali ni apa pula.. Detik hati Mak Ton.

"Bodoh. Bodoh. Bodoh. Pergilah! Aku panas ni. Arghhhhhhh... " Dari tangga lagi Haris dan Mak Ton sudah mendengar jeritan Pak Lang Awi. Dengar jeritan itu cepat-cepat mereka masuk ke rumah Pak Lang Awi. Kelihatan beberapa orang kampung sudah ada di sisi Pak Lang Awi sambil membaca al-Quran. Haris pelik, lain benar keadaan Pak Lang Awi berbanding malam semalam. Haris memandang maknya penuh tanda tanya. Mak Ton membalas dengan meletakkan jari dimulut tanda menyuruh Haris tidak bertanya. Dia tahu Haris mahukan penjelasan.

Tubuh Pak Lang Awi kurus kering. Tak ada isi yang tinggal. Cuma tulang. Tapi peliknya setiap masa minta diberi makan.

"Grr.. Grrr.. Mahu lagi.. Mahu lagi! " Pak Lang Awi membentak. Dia mahukan nasi tambah. Mesti juga lauk ayam hutan. Dia lapar. Nasi yang dimakannya itu seperti tak terkesan diperutnya.

Semua orang saling berpandangan. Pak Lang Awi tubuhnya lemah. Sekali pandang seperti mayat hidup tapi bila makan seperti sudah lama benar tidak menjamah makanan.

Malam itu Mak Ton dan Haris bergegas ke rumah Pak Lang Awi selepas Razak jiran mereka memberitahu Pak Lang Awi sudah benar-benar nazak. Mak Ton menangis melihat abangnya itu. Nafas Pak Lang Awi menderam kuat seperti tak cukup nafas. Tapi dalam nazak sebegitu dia masih lagi marah-marah. Habis dimakinya orang kampung yang membaca yassin untuknya.

"Sudah berhenti. Aku panas la bodoh. korang buat apa ni? aku tak perlukan yasin korang ni.. berhenti aku kata. Aku panas dah ni.." Pak Lang Awi terus menerus memaki. Badannya merah menahan panas. Bisa sungguh bacaan yasin itu untuknya.

"Suruh mereka berhenti! sial! Berhenti atau kau aku seksa sampai mati..Tuan tak guna.."

Mata Pak Lang Awi terbelalak. Tak sangka peliharaannya itu akan bertindak agresif sedangkan dia tuannya.

"Aku kata diamlah! benda tu nak bunuh aku kalau korang semua tak berhenti.." Pak Lang Awi menjerit meracau. Nafasnya turun naik sambil jarinya bergerak-gerak ditujukan ke arah sesuatu. Yang pasti dia seorang sahaja yang nampak.

Sepanjang malam itu bacaan yasin diteruskan secara bergilir-gilir. Sepanjang masa itu juga bermacam-macam perkara aneh berlaku. Bunyi ketukan tingkap berselang seli taburan pasir dibumbung. Bunyi perempuan memanggil nama dan cakaran dibumbung.

Haris melihat jam sudah menunjukkan pukul 3.20 pagi. Ramai orang kampung sudah pulang cuma tinggal beberapa orang lagi itu pun yang ada pertalian kekeluargaan dengan mereka. Pak Lang Awi yang ada di tengah ruang tamu dijeling sekilas. Orang tua itu sudah senyap. Tidak lagi meracau macam tadi. Penat barangkali. Tiba-tiba Haris terkejut. Namanya dipanggil oleh Pak Lang Awi.

"Haris. Kau tolong aku boleh? Kali ini saja. Jaga dia. Tak susah pun. Kau cuma perlu bagi dia makan." Pak Lang Awi merayu. Nafasnya tersekat-sekat.

"Tak nak." Cepat-cepat Haris menolak. Dia masih waras untuk terima belaan itu.

"Kenapa?" Pak Lang Awi menjegil mata. Suaranya bertukar garau. Tangan Haris digenggam kuat. Haris cepat-cepat menarik tangannya. Betapa kuat genggaman itu tangannya kelihatan lebam. Dia tahu tu bukan Pak Lang Awi. Haris cepat-cepat bangun.

Pagi itu semua orang dalam rumah riuh rendah. Pak Lang Awi sudah tiada. Perginya bila tiada siapa yang tahu. Pak Seman sepupu Pak Lang Awi dan Mak Ton yang perasan masa dia nak bersiap ke surau. Dia perasan pun sebab pelik melihat Pak Lang Awi matanya buntang ke atas, mulut besar ternganga tapi tubuhnya kaku. Rupa-rupanya orangnya telah tiada.

"Arwah tak nak jenazahnya di bawa ke surau.." Perlahan saja suara Mak Ton memberitahu Ustaz Ismail. Ustaz Ismail mengangguk-angguk tanda faham. "Tak apa lah. Di rumah ini saja kita sempurnakan jenazahnya." Balas Ustaz Ismail. Dia tahu perasaan Mak Ton bagaimana.

"Tangan Pak Lang Awi tak mahu betul!" kata seorang pemuda. Apalagi bisinglah orang kampung. Baru tadi jenazah Pak Lang Awi seperti bunyi berdehem dan tingkap yang terbuka tiba-tiba tertutup sedangkan angin tiada pun. Sekarang tangan Pak Lang Awi pula. Sepatutnya tangan kanan di atas dan kiri di bawah tetapi ini terbalik. Penat dibetulkan tetap juga sama. Jenazah Pak Lang Awi akhirnya selamat dikebumikan selepas Isyak. Pelbagai perkara aneh berlaku membuatkan proses pengebumian menjadi lambat.

Cerita Pak Lang Awi tak berhenti setakat itu sahaja. Selepas kematiannya lebih banyak perkara aneh berlaku. Tiga hari lepas jiran Pak Lang Awi nampak dia sedang mencakar sampah, kadang-kadang terdengar juga seperti orang memasak dan ada juga yang nampak susuk seperti Pak Lang Awi sedang duduk di beranda sambil merokok. Semua kejadian itu berlaku setelah jam 12 tengah malam.

Peristiwa aneh itu juga tidak setakat di sekitar rumah Pak Lang Awi. Habis orang kampung dikacaunya. Baru semalam Azimah anak Tok Penghulu Baha kena. Katanya dia ke beranda rumahnya sekejap untuk mengambil barang tiba-tiba dia ternampak pocong di hadapannya. Benda tu menyeringai pada Azimah sambil bertanya "Mahu tolong aku?". Tak tunggu lama Azimah terus meracau.

"Sampai bila mak semua ni?" Haris memandang Mak Ton. "Entahlah Ris. Mak pun tak tahu. Kita doa sajalah semuanya cepat berakhir."

Haris menarik nafas panjang. Sungguh apa yang jadi masih belum mampu dihadam dan diterima logik akalnya. Tapi satu yang dia yakin jin dan manusia tidak akan pernah boleh bersahabat. Setiap perjanjian yang diikat pasti akan mengundang bencana.

"Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (Al-Jin: 6).

Maka benarlah janji-Nya. Semoga semua yang berlaku akan cepat berlalu.

Karya : Sya-El

sumber : kalimah paranormal team x
Previous
Next Post »